Emas ialah unsur kimia dalam jadual berkala yang mempunyai simbol Au (L. aurum) dan nombor atom 79. Logam ini secara asli boleh didapati dalam bentul ketulan nuget atau butir kecil dalam batuan, atau mendapan aluvial. Kadang-kadang ia juga boleh didapati dalam sebatian emas selalunya dengan tellurium. Logam emas adalah padat, lembut, berkilat, dan logam asli yang paling mudah ditempa dan mulur. Emas tulen mempunyai warna kuning terang dan dianggap menarik dan warna ini kekal tanpa mengalami pengoksidaan udara atau air. Emas adalah logam yang dibuat syiling dan berfungsi sebagai simbol kekayaan dan penyimpan nilai sepanjang sejarah manusia. Standard emas telah menyediakan asas untuk dasar kewangan. Ia juga telah dikaitkan dengan pelbagai simbolisme dan ideologi.
Gambar Ehsan Google
Emas adalah logam berharga yang dicari-cari untuk syiling, barang kemas dan hasil seni lain sejak zaman dahulu lagi. Sebanyak 165,000 tan emas telah dilombong dalam sejarah manusia pada tahun 2009.[1] Ini lebih kurang sama dengan 5.3 bilion ons troy atau, dari segi isipadu ialah sekitar 8.500m³. Penggunaan emas baru di dunia adalah sekitar 50% sebagai barang kemas, 40% pelaburan, dan 10% dalam industri.
Walaupun digunakan terutamanya sebagai simpanan nilai, emas mempunyai banyak kegunaan industri moden termasuk pergigian dan elektronik. Emas digunakan kerana daya ketahanan yang baik terhadap pengakisan dan konduktor elektrik yang sangat bagus.
SIFAT UTAMA EMAS
Emas ialah unsur logam yang berwarna kuning berkilauan tetapi boleh juga berwarna seperti delima atau hitam apabila dibahagi dengan halus. Larukan koloid emas pula mempunyai warna berkeamatan tinggi yang biasanya berwarna ungu. Warna yang terdapat pada emas adalah disebabkan oleh frekuensi plasmon emas yang terletak pada julat penglihatan, mengakibatkan warna merah dan kuning dipantulkan sementara warna biru diserap. Hanya koloid perak mempunyai interaksi yang sama terhadap cahaya, tetapi dalam frekuensi yang lebih pendek, sehingga menyebabkan warna koloid perak menjadi kuning. Emas juga merupakan logam yang paling boleh tempa dan dimulurkan. Satu gram emas boleh ditempa menjadi satu kerajang bersaiz satu meter panjang dan satu meter lebar atau 1 auns kepada 300 kaki². Emas biasanya dialoikan dengan logam yang lain untuk menjadikannya lebih keras.
Gambar Ehsan Google
Emas merupakan pengalir haba dan elektrik yang baik, dan tidak dipengaruhi oleh udara dan kebanyakan reagen. Secara kimianya, logam emas tidak boleh diubah oleh haba, kelembapan, dan kebanyakan agen menghakis dan oleh itu ia amat sesuai digunakan sebagai duit syiling dan barangan kemas.
Emas tulen mengandungi antara 8% dan 10% perak, tetapi biasanya kandungan tersebut lebih tinggi. Aloi semula jadi dengan kandungan perak yang tinggi dipanggil elektrum. Apabila kuantiti perak bertambah, warnanya menjadi lebih putih dan ketumpatan tentunya berkurangan.
Aloi dengan kuprum menghasilkan logam kemerahan, aloi besi berwarna hijau, dan aloi aluminum berwarna ungu. Barang kemas yang dibuat dengan kombinasi emas yang berwarna dijual di Amerika Syarikat dan dikenali sebagai emas Black Hills.
Keadaan pengoksidaan emas yang biasa termasuk +1 dan +3.
KEGUNAAN LAIN EMAS
Emas tulen adalah terlalu lembut untuk kegunaan biasa, oleh itu logam ini ditambahkan kekerasannya dengan mengaloikannya bersama perak (argentum), tembaga (kuprum) dan logam-logam lain. Emas dan pelbagai jenis aloi emas biasanya digunakan dalam pembuatan barangan kemas, duit syiling dan sebagai pertukaran perdagangan dalam banyak negara. Selain itu, emas boleh mengalirkan elektrik dengan amat baik dan tahan hakisan. Ini menjadikan emas muncul sebagai logam industri penting pada akhir abad ke 20.
Emas memainkan beberapa peranan penting dalam pembuatan komputer, alat komunikasi, kapal angkasa, enjin pesawat jet, kapal terbang, dan hasil pengeluaran yang lain.
- Daya tahan terhadap pengoksidaan membolehkan emas digunakan secara berleluasa dalam pembuatan lapisan nipis elektroplat pada permukaan penyambung elektrik untuk memastikan penyambungan yang baik.
- Seperti perak, emas boleh membentuk amalgam keras bersama raksa, dan ini kadang kala digunakan sebagai bahan pengisi gigi.
- Emas koloid (nanopartikel emas) ialah larutan berwarna berkeamatan tinggi yang kini sedang dikaji di dalam makmal-makmal untuk kegunaan perubatan dan biologi (kaji hayat). Ia juga merupakan bentuk yang sering digunakan dalam pengecatan emas pada seramik sebelum seramik dibakar.
- Asid kloraurik digunakan dalam fotografi untuk memberi ton kepada imej perak.
- Dinatrium aurothiomalate digunakan dalam rawatan artritis rheumatoid (diberikan secara suntikan intra-otot).
- Isotop emas Au-198, (Separuh hayat: 2.7 hari) digunakan dalam rawatan barah dan rawatan lain-lain penyakit.
- Emas digunakan sebagai bahan penyalutan untuk membolehkan bahan biologi diperhatikan di bawah mikroskop elektron imbasan.
- Banyak pertandingan dan penganugerahan, seperti Sukan Olimpik dan Hadiah Nobel, pemenangnya akan meraih pingat emas (manakala perak diberikan kepada naib johan, dan gangsa kepada yang ketiga.)
DINAR EMAS
Pada 1998, kerajaan Malaysia mencadangkan penggunaan emas sebagai mata wang perdagangan dunia seperti mana yang diperkenalkan semasa zaman Rasulullah dahulu. Emas dipilih kerana sifat kimianya yang stabil dan nilainya yang tidak berubah. Selain itu, dinar emas juga diharap dapat menggantikan pergantungan dunia terhadap Dollar Amerika dan Euro. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia keempat ketika itu, dinar emas tidak akan menggantikan mata wang setempat (sebagaimana Euro), tetapi mata wang ini hanya akan digunakan sebagai mata wang perdagangan antara negara sahaja.
0 ulasan:
Catat Ulasan